Merawat-wajah-cara-tradisional

Merawat wajah cara tradisional

Merawat wajah cara tradisional

Melihat kepada jenama produk penjagaan kecantikan memang kadangkala boleh membuatkan kita keliru. Tidak tahu yang mana satu perlu dipilih kerana banyak yang lebih kurang sama. Persaingannya memang sengit, malah ada pengusaha menggunakan cara yang sedikit keterlaluan untuk menarik perhatian pembeli.

Memang kemunculan produk ini memudahkan cara. Tetapi tidak kurang yang masih setia mengamalkan kaedah penjagaan secara tradisional walaupun ada sesetengah menganggap ia lambat menunjukkan kesan. Ya, kaedah tradisional yang menggunakan sumber semula jadi memang mengambil masa yang lebih lama untuk dilihat kesannya, tetapi ia ternyata lebih selamat dan terjamin kebersihannya.

Penggunaan sumber semula jadi sama ada sayur-sayuran, buah-buahan atau tumbuhan penghias laman yang ada manfaat kesihatan dan kecantikan juga akan menjimatkan belanja kerana anda tidak perlu ke salun atau ke kedai untuk mendapatkan sesuatu produk.

Cara tradisional ini akan menjadikan kulit anda semakin gebu dan bersih setiap masa. Jika diamalkan selalu, anda akan mendapat kesan seperti yang diinginkan. Antara rawatan tradisional yang boleh dilakukan ialah.

* Wajah bersih dan cerah

Gunakan daun lidah buaya dan susu untuk mendapatkan wajah bersih dan cerah. Caranya amat mudah dengan mengambil lendir lidah buaya dan dicampurkan dengan susu. Ramuan ini kemudian disapu ke wajah, biarkan hingga kering dan dibilas dengan air suam supaya kotoran atau cela keluar.

* Melembapkan wajah

Untuk melembapkan kulit wajah, ambil buah pisang dan oleskan ke wajah seperti krim. Biarkan ia kering kemudian bilas dengan air bersih. Untuk kesan yang lebih baik, lakukan sekerap mungkin kerana bahan ini amat elok untuk kecantikan kulit supaya kelihatan lebih gebu.

* Menyegar dan memutihkan wajah

Limau nipis dan telur dapat dimanfaatkan dan dijadikan ramuan tradisional untuk membuat kulit wajah putih dan segar.

Caranya dengan memerah air limau nipis dan dicampurkan dengan kuning atau putih telur (pilih salah satu), kemudian sapukan ke keseluruhan wajah selama beberapa minit hingga ia kering. Sebaik kering, bilas dengan air suam. Lakukan sekerap mungkin untuk kesan yang ketara.

* Wajah berminyak

Untuk menangani masalah ini, ambil potongan limau nipis dan tomato. Racik tomato hingga halus dan perahkan sedikit limau nipis. Sapukan secara lembut pada muka. Lakukan berulang kali pada seluruh wajah dan bilas.

petua-kecantikan-mengikut-islam

Petua Kecantikan Mengikut Islam

Petua 1: Sejurus bangun pagi, sebelum mandi dan gosok gigi, amalkan petua ini. Urutkan wajah anda dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi, sambil selawat ke atas nabi SAW sebanyak 3 kali. Amalkan urutan ini setiap hari.

Petua 2: Sejurus bangun pagi, sebelum mandi dan gosok gigi, minum air dan biarkan ia di dalam mulut selama 10 saat dan sambil itu selawat 3 kali. Kemudian, baru diteguk. Air liur ada enzim yang boleh menjadi penawar untuk anda.

Petua 3: Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari yang baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Selain itu, amalkan menanam kuku/rambut yang dipotong atau gugur.

Petua 4: Semasa berdandan di waktu pagi baca selawat Nabi SAW di kedua tapak tangan dan raupkan ke muka berserta niat dalam hati supaya diindahkan wajah seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.

Petua 5: Untuk melihat wajah kita agak muda daripada umur kita, amalkanlah petua ini dengan jujur dan ikhlas. Senang sahaja, pertama, setiap kali selepas solat Subuh, bacalah surah Yusuf, kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja. Wajah anda in sha Allah akan kelihatan muda daripada umur sebenar anda.

Petua 6: Hafalkan ayat 35-38 surah Al-Waqiah. Bacalah dalam hati setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.

Petua 7: Amalkan bangun pagi dan mandi embun. Usap embun dari hujung daun pada wajah, rambut dan kulit badan. Khasiat air embun amat banyak. Wajah anda akan berseri dan tubuh badan menjadi sihat serta awet muda.

Petua 8: Muka kita biasanya akan berminyak selepas bangun dari tidur. Inilah masanya untuk mengamalkan urutan wajah. Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan dan diletakkan di bawah mulut. Pusingkan jari anda ke pipi, pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi. Lakukan setiap pagi diikuti dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Perlu diingat, jangan sesekali mengurut wajah anda dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.

Sekian, semua berlaku dengan izin Allah, wallahua’lam.